
Pengenalan
Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh telah diasaskan dalam tahun 1937 oleh Tuan Guru Haji Wan Abdul Latiff bin Wan Kadir seorang guru agama yang terkenal. Beliau merupakan salah seorang anak tempatan Daerah Besut yang tebal minatnya dalam memajukan pengajian agama khususnya di kalangan penduduk setempat.
Pada awal penubuhannya, sekolah ini pernah dikenali dengan nama " Jaamiah Ittifakiah" yang mana bernaung di bawahnya beberapa buah sekolah agama yang lain di sekitar Daerah Besut. Bagaimanapun disebabkan beberapa faktor yang mendesak, sekolah- sekolah tersebut mula ditadbirkan secara berasingan. Perkataan "Jaamiah" yang digunakan pada awal penubuhannya telah digugurkan.
Tokoh Pengasas
Haji Wan Abdul Latiff dilahirkan di Kampung Pulau Salim, Besut pada tahun 1895. Beliau bukan sahaja merupakan guru agama malah beliau juga bergiat aktif dalam arena politik tanah air yang berlandaskan semangat untuk membebaskan Tanah Melayu daripada pihak penjajah Inggeris.
Dalam lingkungan usia 7 tahun beliau mula belajar Al-Quran dengan datuknya, Wan Abu Bakar bin Wan Mustaffa. Ketika berusia 11 tahun, beliau telah berjaya menguasai Al-Quran dengan baiknya. Apabila berusia 14 tahun beliau mula belajar agama di Kampung Lampu, Besut, di bawah didikan Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Hussein. Apabila Tuan Guru Haji Muhammad berpindah Kuala Besut, Haji Wan Abdul Latiff masih meneruskan pengajiannya di sana. Semasa di Kuala Besut, beliau telah berkawan rapat dengan Tuan Guru Haji Abas bin Haji Muhammad. Mereka merupakan dua orang sahabat yang sememangnya hebat dalam menuntut ilmu. Tuan Guru Haji Abas lebih berminat dalam Ilmu Falsafah manakala beliau lebih cenderung kepada Ilmu Fekah.
Setelah menamatkan pengajiannya di Kuala Besut, beliau telah menyambung pelajaran agamanya di Masjid Muhammad, Kota Bharu, Kelantan. Sewaktu di sinilah beliau berpeluang menimba ilmu daripada ulama yang terkenal, Tok Kenali. Beliau mendalami pengajian agama di Kelantan lebih kurang empat tahun.
Awal tahun 1925, beliau telah ke Mekah untuk mendalami ilmu agamanya. Di Tanah Suci, beliau belajar di Masjid Al-Haram di bawah bimbingan Syeikh Said Al-Yamani dalam bidang Tauhid dan Fekah, Selain dari itu beliau juga mempelajari bidang Fekah daripada Syeikh Muhammad Patani, Daripada Tuan Guru Pak Cik Ya dalam bidang Usuluddin dan Usul Fakah, Tuan Guru Hassan Massah dalam bidang Mustalah Hadis dan Hadis Muslim, Tuan Guru Haji Sulong dalam bidang Ilmu Mantik, Ilmu Alat dan Nahu, Syeikh Ali Maliki dalam bidang Al-Quran dan Tafsir , Tuan Guru Haji Wan Nuh dalam bidang Al-Quran dan daripada Tuan Guru Tok Segora dalam bidang Al-Quran dan Tajwid. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1934, setelah berada selama 10 tahun. di Mekah
Sejarah Pengasasan dan Perkembangan Pondok Tuan Guru Haji Wan Abdul Latiff

Pada tahun 1936, beliau telah membawa keluarganya berpindah ke Kampung Mak Sara, Jerteh .Beliau menetap di atas tanah yang dibelinya seluas tujuh ekar. Kedatangan beliau ke Jerteh mendapat sambutan daripada penduduk di situ. Mereka telah bergotong-royong membina sebuah surau yang agak besar berhampiran dengan rumahnya. Oleh kerana ramai pelajar yang datang beliau bercadang untuk memulakan pengajaran sistem pondok. Orang ramai bergotong-royong pula membina sebuah tempat belajar dan beberapa buah pondok kediaman para pelajar. Pada tahun 1937, terbinalah "Madrasah Diniyah Ittifaqah" dengan bilangan pelajarnya semakin hari semakin bertambah. Dalam tahun 1941, pelajar Madrasah Diniyah Ittifaqah dianggarkan seramai 400 orang dan bilangan pondoknya pula sebanyak 200 buah. Pada tahun 1948, dengan bantuan derma orang ramai, beliau berjaya menubuhkan pusat pengajian yang berasingan antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan. Pusat pengajian perempuan diberi nama "Madrasah Rokiatulbanat". Sekarang di tapak pusat pengajian tersebut tersergam indah bangunan asrama puteri tiga tingkat.
Peristiwa Antara Tahun 1942 hingga 1957
Dengan pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, sekolah ini turut menempuh zaman gelap yang mengakibatkan usaha-usaha memajukannya terhenti buat beberapa ketika.
Setelah tamat pendudukan Jepun dan keamanan beransur pulih semula, satu mesyuarat telah diadakan bagi mencari kata sepakat agar pengajian diteruskan semula. Sebuah Jawatankuasa Lembaga Pengurus telah ditubuhkan hasil mesyuarat tersebut, dengan bertujuan mengendalikan sumber-sumber kewangan sekolah. Ramai penderma telah tampil ke hadapan dan sumbangan ini disalurkan melalui badan kebajikan yang ditubuhkan di setiap mukim dan kampung sekiar Daerah Besut.
Bermula tahun 1948 juga Tuan Guru Haji Abas, Haji Abdullah ( adik kepada Tuan Guru Haji Abas ), Haji Shafie dan Haji Sulong telah bergabung tenaga memberi pendidikan kepada pelajar-pelajar di Madrasah Tuan Guru Haji Wan Abdul Latiff. Bagaimanapun antara tahun 1952 hingga tahun 1954 sekali lagi Ittifakiah menempuh zaman kemerosotan. Ini kerana penarikan diri oleh beberapa orang tenaga pengajarnya untuk memulakan penghidupan baru di tempat lain.
Pentadbiran Sekolah Bertukar Tangan
Untuk menyelamatkan Ittifakiah daripada terus mengalami kegelapan, maka suatu tindakan yang berani telah dilakukan oleh pengasas sekolah ini. Tuan Guru Haji Wan Abdul Latiff. Pada tahun 1958 beliau telah menyerahkan pentadbiran sekolah yang dicintai kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ( JHEAT ), walaupun mendapat tentangan daripada penduduk tempatan. Beliau juga dengan rela hati mewakafkan tapak madrasah tersebut seluas 4.5 ekar kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Menempuh Zaman Gemilang
Dengan berrtukarnya teraju pentadbiran, Ittifakiah telah memasuki zaman baru yang gemilang. Sistem pelajaran dalam bentuk persekolahan diperkenalkan. ‘Shahadah Ibtadaiyah’ akan dikeluarkan kepada setiap pelajar yang berjaya menamatkan pengajiannya dan lulus di dalam peperiksaan tahun akhir.
Kerajaan Negeri Terengganu telah memberi wang peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina sebuah bangunan baru di samping memberi beberapa kemudahan asas yang lain. Bagi membantu kegiatan pengajaran dan pembelajaran yang amat mendesak, mulai tahun 1958 kerajaan mula melantik guru besar untuk mentadbirkan perjalanan sekolah ini.
Perubahan Sistem Pendidikan
Pada akhir tahun 60-an sekolah ini telah mengalami perubahan dalam sistem pendidikan, Sistem persekolahan telah diselaraskan mengikut sistem kebangsaan iaitu dengan memperkenalkan beberapa pelajaran akademik. Manakala pelajaran agama pula diajar dengan pengantar Bahasa Melayu, sementara pengajian Bahasa Arab terus dikekalkan seperti biasa. Tempoh persekolahan juga telah dipendekkan daripada 5 kepada 3 tahun dan semua murid Tingkatan 3 diwajibkan menduduki peperiksaan SRP yang dikendali oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tuan Haji Abdullah bin Ibrahim telah dilantik sebagai guru besar mulai tahun 1976 hingga 1980. Dalam masa pentadbiran beliau, dua buah bangunan baru dan sebuah dewan besar mula didirikan. Tenaga pengajar telah meningkat melebihi 20 orang dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum mula dititikberatkan.
Dinaikkan Taraf
Menjelang tahun 1981 Ittifakiah telah memasuki zaman baru. Sekolah ini telah dinaikkan tarafnya daripada Sekolah Menengah Agama Rendah kepada Sekolah Menengah Agama Menengah. Pada tahun tersebut seramai 103 orang pelajar mula belajar di kelas-kelas Tingkatan 4. Bilangan pelajarnya pada masa itu ialah 850 orang manakala guru-gurunya pula seramai 40 orang. Dari tempoh 1973 hingga 1997 seramai 14 pengetua telah berkhidmat di sekolah ini.
Melangkah ke Abad 21

Tahun ini genaplah usia sekolah ini 60 tahun. Ittifakiah mampu tersenyum megah mengenangkan anak watan yang sempat diasuh dan dididik menjadi pelajar cemerlang dan manusia yang berilmu dan berketrampilan. Abad ke-21 sudah tentunya menanti dengan seribu satu cabaran. Namun dengan keperihatinan pelajar, dedikasi guru-guru dan kepimpinan dinamik serta berwawasan dari pengetuanya, Tuan Haji Deres bin Deraman, didoakan agar cahaya Ittifakiah akan terus bersinar gemilang untuk terus menaburkan baktinya kepada agama, bangsa dan tanah air yang tercinta. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment